PERUBAHAN IKLIM DUNIA DAN KESANNYA

PERUBAHAN IKLIM DUNIA DAN KESANNYA




- Perubahan iklim adalah istilah yang merujuk kepada perubahan besar yang berlaku terhadap suhu, hujan, salji atau corak angin yang terjadi selama beberapa tahun, dekad atau lebih lama lagi.Menurut Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia merujuk kepada perubahan iklim dari masa ke semasa, akibat kesan daripada aktiviti manusia.Perubahan iklim membuka satu perspektif baru pada peringkat global terutamanya berkaitan dengan isu keselamatan makanan dan kemudahterancaman penduduk luar bandar. Fenomena ini merujuk kepada perubahan iklim dunia yang memberikan impak kepada manusia dan ekosistem sama ada secara langsung atau tidak langsung. Perubahan iklim adalah berpunca akibat daripada aktiviti manusia yang secara langsung atau tidak langsung mengubah komposisi atmosfera global (United Nations Framework Convention on Climate Change, 1992). Peningkatan suhu global sejak tahun 1850 ekoran peningkatan gas rumah hijau telah memberi kesan kepada pengeluaran makanan di kebanyakan negara di dunia (Food and Agriculture Organization, 2005).





KESANNYA -


-  Kesan perubahan iklim dirasai di setiap negara dan benua, antaranya corak cuaca yang berubah-ubah dan kenaikan paras air laut, semua ini merupakan bukti jelas yang semakin membimbangkan. Bencana alam seperti taufan, kebakaran hutan dan kemarau pula mengancam bekalan makanan dunia, menyebabkan manusia kehilangan tempat tinggal dan juga menjejaskan kehidupan. Kesemua kesan ini meningkatkan risiko terjadinya konflik, kebuluran dan kemiskinan. Perubahan iklim bukan sekadar imaginasi, sebaliknya realiti yang tidak dapat dinafikan.


    Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa jalan untuk menangani ancaman ini semakin mengecil dan paling terkesan adalah penduduk yang hidup dalam kemiskinan. Perubahan iklim bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran malah menjejaskan sistem ekonomi, sosial dan politik. Sama ada ia datang dalam bentuk gelombang haba atau cuaca sejuk melampau, perubahan iklim mampu menyebabkan kekurangan keperluan asas seperti air dan makanan serta menjejaskan kehidupan manusia.


    Kajian mendapati bumi kehilangan satu pertiga tanah suai tani dalam tempoh 40 tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan bencana alam dan pemuliharaan yang lemah. Lebih 1.3 bilion penduduk dunia tinggal di tanah pertanian yang semakin tidak subur dan ia mengakibatkan kekurangan hasil tanaman sekali gus boleh meningkatkan risiko kebuluran dan kemiskinan.

Sementara itu, kerosakan yang dibawa bencana alam adalah hampir mustahil untuk diatasi oleh penduduk miskin. Penduduk dunia turut diancam kemarau yang dilaporkan menjejaskan 1 bilion penduduk dalam tempoh 10 tahun lalu. Industri pertanian yang menjadi sumber utama bekalan makanan dan pendapatan penduduk di negara membangun turut terkena tempiasnya.


 

Comments